Breadcrumbs

Jangkitan staph dan kebersihan kulit

Ketahui tentang jangkitan kulit yang biasa dijangkiti dan cara mencegahnya dengan kebersihan yang baik

Semua orang mahukan kulit yang sihat. Ia menjadikan kita sihat dan memberi keyakinan untuk bertemu orang lain. Tetapi, tahukah anda tidak kira betapa sihatnya kulit anda, ia merupakan hos bagi pelbagai jenis mikroorganisma? Antara mikroorganisma yang biasa adalah Staphylococcus aureus.

Kebiasaannya, bakteria ini tidak memberi ancaman. Tetapi, jika ia memasuki bahagian dalam kulit anda, ia boleh menyebabkan jangkitan bakteria yang dikenali sebagai jangkitan staph. Jangkitan staph biasanya boleh dirawat dengan krim atau tablet antibiotik, tetapi jangkitan staph yang disebabkan oleh MRSA lebih tegar dan menimbulkan kesukaran untuk merawatnya.

Staphylococcus aureus boleh tersebar melalui udara di atas lapisan kulit (habuk), sentuhan kulit atau sentuhan permukaan yang tercemar. Kulit anda membentuk pertahanan semula jadi terhadap bakteria dan kuman lain, tetapi apabila kulit anda luka, staphylococcus aureus boleh memasuki tubuh anda dan menyebabkan jangkitan Staph. Ia boleh dibagikan kepada dua jenis jangkitan:

  • Jangkitan kulit dan tisu lembut. Ia adalah jangkitan sederhana apabila bakteria itu hanya menjangkiti kulit di sekitar titik kemasukannya.
  • Jangkitan invasif. Jika bakteria memasuki saluran darah, kemudian ke tulang, paru-paru dan jantung, ia mengakibatkan jangkitan yang sangat serius serta mengancam nyawa.

Tanda-tanda jangkitan kulit yang biasa dan jangkitan staph termasuklah:

  • Bisul – benjolan merah dan sakit pada kulit yang boleh mengeluarkan nanah di bahagian tengah. Jika dipicit, ia boleh menyebabkan jangkitan menjadi lebih teruk. Jadi lebih elok jika dibiarkan ia pecah dan kering sendiri.
  • Impetigo – biasanya menjangkiti kanak-kanak dan mudah tersebar serta menunjukkan tanda-tanda sakit seperti kesan kering berwarna perang atau tanda melecet yang berair. Menggaru akan menyebabkan bakteria lebih mudah tersebar.
  • Cellulitis – jangkitan bakteria di bahagian bawah permukaan kulit, menyebabkannya menjadi merah, sakit, bengkak dan bisul. Ia juga boleh menyebabkan anda berasa menggigil dan mual.
  • Staph Scolded Skin Syndrome (SSSS) – kebiasaannya ia menjangkiti bayi dan kanak-kanak di bawah usia 5 tahun yang mempunyai bisul teruk dan kelihatan seperti kulit itu telah disimbah dengan air panas. Bayi juga akan mengalami peningkatan suhu yang tinggi dan kulit yang terkopek.

Jika anda mengalami tanda-tanda ini, anda patut berjumpa doktor atau pakar kesihatan anda untuk mendapatkan antibiotik dan rawatan jangkitan.

Membasuh tangan

Kerap membasuh tangan dengan teliti menggunakan sabun dan air, termasuklah selepas ke tandas atau sebelum makan.

Pastikan kulit bersih

Mandi pada setiap hari untuk memastikan kulit anda bersih dan sihat.

Pastikan luka atau kecederaan dibalut

Jika luka atau mengalami kecederaan, bersihkan, rawat dengan antiseptik dan pastikan ia dibalut untuk melindunginya daripada kotoran dan kuman. Tukar pembalut dengan kerap, pastikan tangan dibasuh sebelum dan selepas menukar pembalut untuk mengelakkan jangkitan lebih teruk.

Q. Mereka yang mempunyai alahan kulit lebih mudah mendapat jangkitan staph

Benar: Mereka yang mengalami reaksi alahan kulit seperti ekzema lebih mudah mendapat jangkitan kulit, terutama sekali daripada Staph aureus kerana sistem imunisasi mereka lebih tertumpu kepada alahan berbanding menentang jangkitan. Mereka yang mengalami ekzema lebih mudah menggaru atau menggosok kulit untuk melegakan rasa gatal, namun ia boleh mengakibatkan kerosakan pada kulit, lalu ia terdedah kepada jangkitan.